(Martin Odegaard (kanan) meraikan kemenangan Arsenal/AFP)
MANCHESTER, 13 November - Pendahulu Liga Perdana Inggeris, Arsenal menewaskan Wolves 2-0 dalam aksi terakhirnya sebelum liga antarangsa berhenti rehat bagi memberi laluan kepada Piala Dunia 2022 di Qatar.
Kemenangan itu membolehkan The Gunners melebarkan jarak dengan pesaing terdekat, Manchester City kepada lima mata.
Martin Odegaard muncul wira apabila menjaringkan dua gol dari jarak dekat pada separuh masa kedua.
Pengurus baharu Wolves, Julen Lopetegui yang akan mengambil alih tugas secara rasmi esok menyaksikan perlawanan di tempat duduk penonton.
Dia dijangka berhadapan tugas sukar pada separuh kedua musim dengan Wanderers kini berada di tangga terbawah.
Sementara itu City gagal meraih sebarang mata apabila kalah mengejut 1-2 di tempat sendiri kepada Brentford.
Skuad bimbingan Pep Guardiola yang tidak tewas di Etihad sejak Februari, tunduk kepada kehebatan ketua pasukan Brentford, Ivan Toney yang diketepikan daripada skuad Piala Dunia England.
Toney menjaringkan dua gol pada minit ke-16 dan masa tambahan manakala City membalas menerusi jaringan Phil Foden sejurus sebelum tamat separuh masa pertama.
“Pasukan yang lebih baik menang,” akui Guardiola. "Kami mempunyai banyak masalah dan kami tidak boleh menekan kerana mereka tidak membenarkan kami," katanya.
Pengurus skuad Bees, Thomas Frank memuji keputusan itu sebagai mungkin yang terbaik buat Brentford apabila mereka naik ke tangga ke-10 liga.
"Menentang salah satu kelab terkaya di dunia dan kami antara pasukan dengan bajet terendah," kata Frank.
Dalam pada itu Newcastle kekal di tangga ketiga selepas menewaskan Chelsea 1-0 di St. James' Park, kekalahan ketiga berturut-turut The Blues dalam saingan Liga Perdana.
Tottenham Hotspur juga kekal di tangga keempat, hasil kemenangan 4-3 menentang Leeds. -AFP
(Martin Odegaard (tengah) meraikan kejayaan menjaringkan gol kedua pasukannya semasa
perlawanan bola sepak Liga Perdana Inggeris antara Wolverhampton Wanderers dan Arsenal
/AFP)