fb fb fb fb fb

Qurratu’Ain Izdihar idam sertai Sukan SEA Thailand 2025

Qurratu’Ain Izdihar (tengah) mencipta sensasi apabila merangkul lima emas pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, Qatar. - Foto Bowling Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 Ogos - Susulan kejayaan merangkul lima emas pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha, Qatar baru-baru ini, pemain boling muda negara Qurratu’Ain Izdihar Mohd Pozi berharap namanya tersenarai untuk beraksi pada Sukan SEA Thailand 2025.

Menurut pemain berusia 17 tahun itu setiap atlet mempunyai impian untuk beraksi pada temasya dwitahunan tersebut, sebelum mengembangkan potensi ke peringkat lebih tinggi.

Buat masa ini, atlet kelahiran Selangor berkenaan mahu memberi tumpuan pada Kejohanan Remaja Asia pada bulan ini di Sunway Megalanes.

“Saya harap tersenarai ke sukan SEA namun buat masa sekarang fokus latihan. Insya-Allah kalau boleh (mahu emas lagi),” katanya.

Skuad remaja negara secara keseluruhan meraih tujuh pingat emas, satu perak dan lima gangsa pada Kejohanan Boling Remaja Asia Bawah 18 Tahun di Doha.

Mengulas tentang kejayaannya di Doha, Qurratu’Ain Izdihar mengakui terpaksa berdepan cabaran ‘berganda’ apabila perlu menyesuaikan diri dengan latihan intensif bagi memenuhi sasaran podium, namun pada masa sama perlu bersedia menghadapi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025.

“Alhamdullilah, saya sangat bersyukur dan tak percaya dapat lima emas daripada tujuh yang dipertandingkan kerana semua acara mencabar tapi dengan bantuan jurulatih saya kekal konsisten dan fokus pada permainan. Keluarga juga selalu menyokong permainan saya. 

“Bagi saya perkara yang sedikit sukar adalah untuk menyeimbangkan antara pelajaran dan kejohanan kerana sekarang musim peperiksaan percubaan SPM. Jadi selepas memenangi pingat emas ini, saya rasa nak fokus pada kedua-duanya, iaitu akademik dan latihan untuk kejohanan,” katanya.-BERNAMA

JALALUDDIN BIN BAHARIN