fb fb fb fb fb

KDA FC diingatkan kekal fokus walaupun raih kemenangan pertama

FOTO KDA FC

JITRA, 4 Ogos - Kemenangan tipis 1-0 Kedah Darul Aman (KDA) FC ke atas Machan FC dalam aksi pembukaan Liga A1 Semi Pro 2025/2026 di Stadium Mini MPKP, Jitra semalam dianggap permulaan positif buat skuad Hijau Kuning.

Gol tunggal perlawanan disumbangkan kapten pasukan, Mohamad Zamri Pin Ramli pada minit kelima menerusi tandukan hasil sepakan percuma, sekali gus disaksikan lebih 500 penyokong setia yang hadir memberikan sokongan.

Pengurus Besar KDA FC, Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi menyatakan rasa syukur atas kejayaan tersebut, lebih-lebih lagi ia diraih di laman sendiri.

“Bersyukur dengan kemenangan ini, walaupun ia hanya permulaan. Pasukan berdepan pelbagai kekangan, namun pemain beraksi dengan profesional. Tak salah untuk meraikan kemenangan pertama ini, tetapi kita bermula dari titik yang rendah dan masih banyak kerja menanti,” katanya dalam kenyataan di sini.

Beliau dalam masa sama mengingatkan pemain agar tidak mudah leka dan terus mengekalkan momentum serta konsistensi dalam aksi seterusnya.

“Kita perlu sentiasa beringat, jangan leka. Pengorbanan ini bukan untuk pasukan Liga A1 semata-mata. Biar kami merangkak dahulu sekarang, jangan pernah berhenti kerana tugas dan tanggungjawab kami masih belum selesai,” ujarnya.

Mohamad Faidhi turut menyeru penyokong setia Hijau Kuning supaya terus mendoakan kejayaan berterusan KDA FC.

0408 SKN KDA TIDAK LEKA2Pengurus Besar KDA FC, Mohamad Faidhi Mohd Rohdzi

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE