fb fb fb fb fb

Ferrand-Prevot, wanita Perancis pertama raih kejuaraan Tour de France Femmes

FOTO AFP

CHATEL, 3 Ogos - Juara Olimpik, Pauline Ferrand-Prevot mencatat sejarah apabila menjadi wanita Perancis pertama memenangi Tour de France Femmes selepas mengungguli peringkat terakhir dengan mendahului juara 2023, Demi Vollering yang menamatkan perlumbaan di tempat kedua keseluruhan.

Pelumba berusia 33 tahun dari pasukan Visma-Lease a Bike itu kekal konsisten sepanjang laluan sejauh 124.1 kilometer dari Praz-sur-Arly ke Chatel sebelum melakukan serangan pada tujuh kilometer terakhir, sekali gus menangis terharu sebaik melintasi garisan penamat.

“Saya sangat gembira... Saya sedikit gementar dengan tekanan jersi ini... Saya perlu berada di hadapan dan kekal di situ,” katanya kepada pemberita.

Vollering (FDJ-Suez) kekal bersama kumpulan Ferrand-Prevot sepanjang sebahagian besar peringkat kesembilan, namun gagal memecahkan jurang masa lebih tiga minit yang dibawa ke hari terakhir.

Pelumba Belanda itu menamatkan perlumbaan di tempat kedua buat tahun kedua berturut-turut dengan ketinggalan tiga minit 42 saat, manakala juara bertahan, Katarzyna Niewiadoma-Phinney (Canyon-SRAM) menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan.

Ferrand-Prevot, yang memenangi pingat emas acara basikal bukit silang negara wanita pada Sukan Olimpik Paris tahun lalu, merampas jersi kuning daripada Kim Le Court pada Sabtu.

Pelumba Australia, Sarah Gigante yang berada di tempat kedua keseluruhan menjelang peringkat terakhir cuba memintas Ferrand-Prevot di pendakian Col de Joux Plane, antara laluan paling sukar di pergunungan Alps, namun gagal meninggalkan pelumba Perancis itu.

Gigante akhirnya ketinggalan apabila Ferrand-Prevot berjaya mengejar Anna van der Breggen (SD Worx-Protime) yang memimpin lebih awal sebelum menuju ke Col du Corbier, pendakian terakhir dalam perlumbaan sejauh 1,168.6 kilometer itu.

Kumpulan pendahulu yang keletihan tidak mampu mengikut rentak apabila Ferrand-Prevot melakukan serangan terakhir dan melintasi garisan penamat 20 saat lebih awal daripada Vollering, disambut sorakan gemuruh penyokong di Chatel.

Dalam pada itu, Lorena Wiebes (SD Worx-Protime) mengekalkan jersi hijau selepas mendahului kategori mata sejak peringkat ketiga, menafikan rakan senegaranya, Marianne Vos (Visma-Lease a Bike) daripada meraih jersi hijau buat kali ketiga.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE