fb fb fb fb fb

Selangor jinakkan NS, 4-0, kehadiran Faisal Halim suntik semangat

Pemain Selangor FC meraikan jaringan gol pada perlawanan Piala FA, Selangor FC menentang Negeri Sembilan FC/Foto BERNAMA

PETALING JAYA, 15 Jun- Selangor FC mara ke peringkat suku akhir Piala FA 2024/2025 dengan bergaya selepas menjinakkan Negeri Sembilan FC 4-0 pada perlawanan pusingan pertama di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) di sini, hari ini.

Skuad Gergasi Merah yang menewaskan Negeri Sembilan 4-0 pada aksi Liga Super hujung bulan lepas, mempamerkan persembahan terpuji apabila mendahului 3-0 pada separuh masa pertama.

Pasukan tuan rumah kendalian Mohd Nidzam Jamil membuka tirai jaringan seawal minit keenam menerusi penyudah pemain tengah import Yohandry Orozco yang bijak melambungkan bola dari jarak dekat untuk menewaskan Syahmi Adib Haikal Mohd Shukri di gawang.

Orozco meletakkan Selangor selesa mendahului 2-0 apabila mencetak jaringan peribadi kedua lapan minit kemudian selepas memanfaatkan kesilapan pemain pertahanan lawan Aliyu Abu Bakar ketika cuba mengeluarkan bola dari kawasan berbahaya.

Penyerang import Alvin Fortes menjadikan kedudukan 3-0 di lewat babak pertama selepas memperdaya pertahanan lawan sebelum melepasAkan rembatan lencong dari jarak dekat sekali gus meraih gol pertamanya dalam aksi kompetitif bersama Selangor.

Pemain dari Belanda itu meneruskan kecemerlangan apabila meledak gol peribadi kedua pada minit ke-67 sekali gus menebus kekecewaan pasukan selepas sepakan penalti Ronnie Fernandez diselamatkan Syahmi Adib seminit sebelum itu.

Penalti tersebut diberikan hasil semakan Video Bantuan Pengadil (VAR) selepas Aliyu dilihat menjatuhkan Fernandez.

Pada peringkat suku akhir yang akan dijalankan secara timbal balik bermula hujung bulan ini, Selangor akan membuat perhitungan menentang Kuching City FC yang mencipta kejutan ke atas Kuala Lumpur City FC 3-2 semalam.

1506 PIALA FA FAISAL HALIM 2Faisal Halim bersama keluarga hadir pada perlawanan Piala FA sebagai tanda sokongan kepada pasukan Selangor FC/Foto BERNAMA

Dalam pada itu, pemain sayap sensasi Selangor dan Harimau Malaya Mohamad Faisal Abdul Halim bersama keluarga termasuk isteri dan anak beliau turut meluangkan masa memberikan sokongan kepada pasukannya di sini.

Faisal atau lebih mesra dengan panggilan Mickey dilihat melemparkan senyuman dan melambai ke arah para peminat yang teruja dan bersorak kepadanya.

Khamis lepas, pemain berusia 26 tahun itu membuat penampilan pertama di khalayak umum pada sidang media khas di Pusat Latihan Selangor FC di Shah Alam selepas insiden disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat membeli-belah di sini, awal bulan lalu.- BERNAMA

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI