fb fb fb fb fb

Seattle Sounders tewaskan Inter Miami, rangkul kejuaraan Piala Liga 2025

FOTO AFP

SEATTLE, 1 September - Seattle Sounders menundukkan Inter Miami 3-0 untuk menjulang kejuaraan Piala Liga 2025 pada Ahad, dengan Alex Roldan muncul wira selepas menyumbang satu gol penalti dan satu umpanan.

Roldan terlebih dahulu mencipta peluang buat Osaze De Rosario menjaringkan gol pembukaan pada minit ke-26, sebelum menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-84 di hadapan 69,314 penonton di Lumen Field, rekod kehadiran tertinggi bagi kejohanan itu. Paul Rothrock melengkapkan kemenangan bergaya dengan gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menghadiahkan trofi utama kesembilan buat Seattle sejak menyertai MLS pada 2009, selain kejuaraan pertama selepas menewaskan Pumas UNAM untuk memenangi Liga Juara-Juara Concacaf 2022. Ia juga menjamin slot automatik ke pusingan 16 terbaik Piala Juara-Juara Concacaf 2026.

Namun, perlawanan dicemari insiden pergaduhan sebaik wisel penamat, melibatkan beberapa pemain kedua-dua pasukan. Penyerang Miami, Luis Suarez, dilihat berada di tengah kekecohan dan dirakam kamera seolah-olah meludah ke arah kakitangan Seattle selepas insiden reda. Jawatankuasa disiplin bebas yang menyelia kejohanan dijangka meneliti perkara itu.

Miami yang dibarisi Lionel Messi gagal menambah koleksi trofi utama ketiga sejak kehadiran bintang Argentina itu pada 2023, sekali gus terlepas peluang merangkul gelaran kedua Piala Liga selepas kejayaan 2023. Bagaimanapun, pasukan itu masih dijamin slot ke kejohanan Concacaf musim depan, namun perlu bermula dari pusingan pertama kecuali mereka menjuarai Piala MLS 2025.

Miami sebelum ini hampir menyamakan kedudukan pada awal babak kedua, tetapi Messi gagal menyudahkan hantaran Suarez pada minit ke-50, manakala Tadeo Allende turut mensia-siakan peluang keemasan 1-lawan-1 sepuluh minit kemudian.

Kegagalan itu dihukum Seattle apabila pemain gantian, Georgi Minoungou, dijatuhkan dalam kotak penalti, membuka ruang buat Roldan memastikan kejayaan penuh bergaya di laman sendiri.- REUTERS

 

0109 SKN LEAGUS CUP123Perlawanan turut dicemari insiden pergaduhan sebaik wisel penamat dibunyikan / AFP

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE