fb fb fb fb fb

Liverpool setuju tandatangani Isak dari Newcastle £130 juta

Penyerang Newcastle United, Alexander Isak, bakal kontrak perpindahan ke Liverpool bernilai 130 juta pound / REUTERS

LONDON, 1 September - Liverpool dilaporkan mencapai persetujuan untuk menandatangani penyerang Sweden, Alexander Isak, dari Newcastle United dengan kontrak jangka panjang bernilai sekitar 130 juta pound, jumlah rekod perpindahan bola sepak Britain, menurut laporan Sky Sports News dan The Athletic pada Ahad.

Rundingan panjang berhubung perpindahan itu menjadi tumpuan sepanjang jendela perpindahan Liga Perdana Inggeris yang akan ditutup Isnin ini, selepas tawaran awal Liverpool berjumlah 110 juta pound untuk pemain berusia 25 tahun itu ditolak pada awal Ogos.

Setakat pagi Isnin, kedua-dua kelab belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi.

Musim lalu, Isak meledak 23 gol liga sekali gus membantu Newcastle menamatkan saingan di tempat kelima dan kembali ke saingan Liga Juara-Juara, selain menjaringkan gol di final Piala Liga menentang Liverpool yang menghadiahkan trofi domestik pertama kelab itu selepas 70 tahun.

Penyerang itu bagaimanapun tidak menyertai jelajah pramusim Newcastle dan terpaksa berlatih berasingan dalam situasi tegang dengan kelab.

Isak sebelum ini menuduh Newcastle mungkir janji serta mengelirukan penyokong, sambil mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab dengan alasan perubahan adalah demi kepentingan semua pihak.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE