fb fb fb fb fb

Nafuzi optimis skuad B-23 mampu layak ke pusingan akhir Piala Asia 2026

Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 September - Pengendali skuad bawah 23 (B-23) negara, Nafuzi Zain yakin barisan pemain yang dipanggil untuk Kelayakan Piala Asia B-23 2026 pada Rabu ini mampu menghasilkan keputusan positif.

Beliau berharap pemain dapat memanfaatkan peluang yang ada dengan menampilkan prestasi terbaik demi mara ke pusingan akhir di Arab Saudi, tahun hadapan.

“Pemain yang diberi ruang perlu menggunakan peluang ini sepenuhnya. Di kejohanan sebelum ini, kita gagal layak ke separuh akhir, jadi kali ini adalah peluang terbaik. Walaupun cabaran lebih besar dan sengit, saya percaya pemain mampu memberi sesuatu untuk memastikan kita mara ke pusingan akhir, insya-Allah,” katanya menerusi video dikongsikan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), semalam.

Sementara itu, tonggak serangan Harimau Muda, Fergus Tierney yang melapor diri lewat bersama skuad B-23 selepas komitmen bersama Sabah FC, menegaskan tidak berdepan masalah menyesuaikan diri.

“Kita semua sudah saling mengenali dan selesa bermain bersama. Harapan saya, kita dapat beraksi lebih baik daripada sebelum ini. Saya berada dalam kondisi yang baik selepas beberapa perlawanan bersama Sabah dan kini bersedia untuk membantu pasukan,” katanya.

Malaysia akan memulakan kempen menentang Lubnan pada Rabu, diikuti Mongolia pada Sabtu, sebelum menutup saingan kumpulan menentang tuan rumah Thailand pada 9 September.

Hanya sebelas juara kumpulan dan empat naib juara terbaik akan mara ke pusingan akhir di Arab Saudi, Januari depan.

Untuk rekod, kali terakhir Malaysia layak ke Piala Asia B-23 ialah pada 2024 di Qatar, dengan pencapaian terbaik negara adalah mara ke suku akhir pada edisi 2018 di China.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE