fb fb fb fb fb

River Plate tundukkan San Martin kekal terajui Kumpulan B, Clausura Argentina

FOTO REUTERS

BUENOS AIRES, 1 September - River Plate kembali ke landasan kemenangan dalam saingan Clausura Argentina selepas menewaskan San Martin 2-0 di Estadio Monumental, awal pagi tadi.

Dua jaringan pada babak pertama menerusi Santiago Lencina dan Maximiliano Salas sudah cukup untuk memastikan tiga mata berharga buat tuan rumah.

River, yang sebelum ini diikat Lanus 1-1, kini mendahului Kumpulan B dengan 15 mata selepas tujuh perlawanan.

Gol pembukaan hadir pada minit ke-17 apabila Ian Subiabre melorongkan bola kepada Lencina di dalam kotak penalti, sebelum pemain muda itu melepaskan rembatan kencang kaki kiri menewaskan penjaga gol San Martin, Matias Borgogno.

Empat minit kemudian, Salas menggandakan kelebihan River selepas berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan sebelum melepaskan sepakan leret kaki kiri ke penjuru gawang.

River dijadual bertemu Estudiantes pada aksi seterusnya, 13 September ini.-REUTERS

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE