fb fb fb fb fb

Lapan wira sukan termasuk Pearly-Thinaah dilantik Ikon Perpaduan Tahun 2025

Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia, Pearly Tan-M. Thinaah antara yang dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025/ Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 1 September - Lapan wira sukan negara termasuk beregu wanita utama yang juga Naib Juara Kejohanan Badminton Dunia, Pearly Tan-M. Thinaah dilantik sebagai Ikon Perpaduan Tahun 2025.

Kementerian Perpaduan Negara dalam satu kenyataan memaklumkan turut dilantik pemain badminton yang juga pasangan beregu, Goh Sze Fei-Nur Izuddin Rumsani serta Wan Muhammad Arif Shaharudin-Yap Roy King.

Turut tersenarai beregu dart negara, Tengku Hadzali Tengku Mustaffar-Tan Jenn Ming.

“Sukan merupakan wadah yang paling ampuh dalam memupuk semangat perpaduan, keharmonian serta kebersamaan rakyat Malaysia.

“Setiap kali atlet negara ini berentap di persada dunia, seluruh rakyat tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang berdiri teguh di belakang mereka, bersatu hati menyokong Jalur Gemilang dikibarkan dengan penuh bangga,” jelas kenyataan tersebut.

Kementerian Perpaduan Negara memaklumkan atlet yang dipilih bukan sahaja mencipta kejayaan di pentas antarabangsa, malah menjadi teladan dengan membuktikan semangat kesukanan mampu meruntuhkan tembok perbezaan serta memperkukuh semangat Malaysia MADANI.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang dalam kenyataan sama berkata pengiktirafan itu bukan sahaja menghargai pencapaian atlet di peringkat antarabangsa, malah menzahirkan peranan mereka sebagai teladan dalam menyatukan rakyat Malaysia.

Beliau menegaskan sukan terbukti menjadi wadah terbaik memupuk semangat perpaduan, keharmonian dan kebersamaan tanpa mengira kaum, agama atau latar belakang.

"Kementerian yakin iltizam yang ditonjolkan ikon ini mampu terus menyemarakkan nilai perpaduan, sekali gus memperkukuh semangat Malaysia MADANI," katanya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN