KUALA LUMPUR, 1 September - Harimau Malaya terpaksa melupakan khidmat pemain Johor Darul Ta'zim, Hector Hevel bagi aksi persahabatan menentang Singapura dan Palestin selepas mengalami kecederaan kaki.
Ketua jurulatih kebangsaan, Peter Cklamovski menjelaskan keputusan itu dibuat selepas pemeriksaan pasukan perubatan mengesahkan Hevel perlu menjalani pemulihan bersama kelabnya.
Bagi mengisi kekosongan tersebut, Cklamovski memanggil seorang lagi pemain tengah JDT, Nathaniel Hong Wan yang sebelum ini berada dalam senarai bersedia.
“Kami membawa masuk Hong dari JDT. Dia bersemangat, bermotivasi dan tidak sabar untuk memberikan yang terbaik bersama pasukan. Saya yakin dia mampu menyesuaikan diri serta menyumbang tenaga secara positif dalam skuad ini,” kata beliau pada sidang media di sini, hari ini.
Sejak menyertai Harimau Malaya Mac lalu, Hevel memainkan peranan penting termasuk meledak satu gol ketika menewaskan Nepal 2–0 dalam kempen kelayakan Piala Asia 2027.
Beliau turut menjadi watak utama ketika Malaysia menundukkan Vietnam 4–0 pada aksi Kumpulan F di Stadium Nasional Bukit Jalil, Jun lalu.
Harimau Malaya dijadual berdepan Singapura, Khamis ini, sebelum menentang Palestin di Stadium Sultan Ibrahim, Iskandar Puteri pada 8 September.
