fb fb fb fb fb

SEA Pekak 2025: Skuad boling negara sasar lima pingat emas

Skuad boling orang pekak negara bakal berentap di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini

SHAH ALAM, 15 Ogos- Skuad boling orang pekak negara meletakkan harapan besar pada acara double dan berpasukan bagi memburu sasaran lima pingat emas di Sukan Asia Tenggara (SEA) Pekak 2025 yang bakal berlangsung di Jakarta, Indonesia dari 20 hingga 26 Ogos ini.

Ketua jurulatih, Joe Tay berkata persiapan intensif sejak setahun lalu membuahkan hasil apabila tahap kemahiran pemain meningkat secara ketara berbanding sebelum ini.

“Banyak kelemahan telah dikenal pasti dan saya ubah cara permainan termasuk teknik melepaskan bola. Hasilnya, kadar jatuhan pin dan kemahiran perlawanan latihan meningkat hampir 70 peratus. Dengan perkembangan ini, saya yakin peluang meraih pingat untuk kategori wanita juga lebih cerah,” katanya ketika ditemui di Alam Lanes, di sini.

Jelas Joe, kekuatan pasukan terletak pada acara berpasukan dan double lelaki, manakala wanita dijangka mampu menyerlah menerusi double dan acara All Event.

“Jika kita menang dalam kategori double atau perseorangan, secara automatik akan layak ke semua acara. Dari situ, peluang ke acara perseorangan terbaik turut terbuka. Sekurang-kurangnya dua hingga tiga wakil negara. Jadi, sasaran lima emas kali ini adalah realistik,” jelasnya.

Tambah beliau, kejohanan di Jakarta itu juga menjadi medan pemanas badan sebelum menghadapi cabaran lebih besar di Sukan Deaflympik Tokyo, Oktober nanti.

Sementara itu, kapten pasukan, Jonathan Ho mengakui penekanan terhadap aspek teknikal banyak membantu memperkukuh corak permainan skuad negara.

“Kalau dibandingkan sebelum ini, kita agak kurang dari segi teknikal. Sekarang pemain lebih faham arahan jurulatih dan bersemangat dalam latihan, sekali gus lebih bersedia untuk kejohanan,” katanya.

Thailand, Indonesia dan Singapura dijangka menjadi pencabar utama pasukan negara kali ini.

Pada edisi 2022, skuad boling orang pekak negara membawa pulang lima emas, enam perak dan tujuh gangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM