fb fb fb fb fb

Liga Super: MFL ubah jadual, libatkan lima perlawanan

Foto RTM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Malaysian Football League (MFL) mengumumkan pindaan jadual beberapa perlawanan Liga Super 2025-2026 susulan permohonan kelab yang terlibat berikutan penggunaan venue untuk acara peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta isu logistik.

Menerusi kenyataan di Facebooknya, MFL memaklumkan perlawanan Melaka FC menentang DPMM FC yang dijadualkan pada 28 Ogos 2025 ditunda ke 30 September 2025 selepas venue tuan rumah digunakan bagi AFC Women’s Championship League 2025/26 pada tarikh asal.

Perlawanan Kelantan The Real Warriors FC (TRW) menentang Penang FC pula dianjak dari 28 Ogos kepada 30 Ogos 2025, dengan pertukaran venue dari Stadium Sultan Muhammad Ke-IV ke Stadium Bandaraya, Pulau Pinang.

Penang FC akan menjadi pasukan tuan rumah kerana stadium asal Kelantan TRW digunakan bagi Sambutan Hari Kebangsaan Peringkat Negeri Kelantan dan Majlis Istiadat Pemeriksaan Kehormatan sempena Hari Keputeraan KDYMM Sultan Kelantan Muhammad V ke-56.

Pertemuan timbal balik Penang FC menentang Kelantan TRW pada 31 Januari 2026 turut bertukar venue dari Stadium Bandaraya ke Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, sekali gus menjadikan Kelantan TRW sebagai tuan rumah.

Bagi aksi Negeri Sembilan FC bertemu Kuching City FC, tarikh perlawanan dipinda dari 28 Ogos ke 29 Ogos 2025 atas permohonan Kuching City FC kerana kekangan logistik.

Sementara itu, perlawanan DPMM FC menentang Kuala Lumpur City FC yang sepatutnya berlangsung pada 20 September akan diadakan pada 22 September 2025 berikutan kekangan logistik melibatkan majlis rasmi Negara Brunei Darussalam.

“MFL sentiasa mempertimbangkan keperluan pasukan dan memastikan setiap pindaan jadual dibuat secara teliti bagi menjaga kelancaran perjalanan Liga Super musim ini,” jelas MFL menerusi kenyataan berkenaan

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD