fb fb fb fb fb

China anjur Sukan Robot Humanoid Dunia pertama

Foto AFP

BEIJING, 15 Ogos - Lebih 500 robot humanoid bersaing dalam pelbagai acara daripada acara lari berpagar 100 meter hingga seni mempertahankan diri kung fu pada edisi pertama Sukan Robot Humanoid Dunia yang bermula di sini, semalam.

Bertempat di National Speed Skating Oval, venue yang dibina untuk Sukan Olimpik Musim Sejuk 2022, kejohanan itu menghimpunkan ratusan pasukan robotik dari 16 negara.

Antara acara yang dipertandingkan merangkumi sukan tradisional seperti olahraga dan bola keranjang, selain tugasan praktikal seperti pengkategorian ubat dan kerja pembersihan.

“Saya percaya dalam tempoh 10 tahun akan datang, robot akan berada pada tahap yang sama dengan manusia,” kata Chen Ruiyuan, penonton berusia 18 tahun,

Antara acara yang mencuri tumpuan ialah bola sepak lima sebelah, yang menyaksikan 10 robot setinggi kanak-kanak berusia tujuh tahun bersaing di padang dengan mempamerkan aksi lucu.

Manakala dalam acara 1,500 meter, juara tempatan Unitree mempamerkan prestasi cemerlang apabila melangkah pantas meninggalkan pesaing. Robot terpantas mencatat masa 6 minit 29.37 saat, jauh ketinggalan daripada rekod dunia manusia iaitu 3:26.00.

Kejadian lucu turut berlaku apabila sebuah robot berlari terus melanggar pengendali manusia hingga individu itu terjatuh, namun robot berkenaan tetap berdiri teguh.

Presiden Persekutuan Robot Antarabangsa menyifatkan penganjuran sukan tersebut selari dengan dasar kerajaan China yang meletakkan pembangunan robot humanoid sebagai strategi bagi membuktikan kemampuan serta daya saing China dalam bidang teknologi global.

“Kerajaan mahu mempamerkan kebolehan dan daya saing mereka dalam bidang teknologi ini,” menurut kenyataan persekutuan itu.

Operator pasukan bola sepak robot dari Belanda, Joost Weerheim, mengakui kagum dengan pencapaian China.

“Saya rasa jika mereka belum menjadi peneraju dunia, mereka sangat pantas ke arah itu,” katanya.

Selain memacu industri, pihak berkuasa China turut meningkatkan kesedaran awam terhadap sektor tersebut.

Cui Han, yang menemani anaknya berusia 10 tahun, berkata sekolah anaknya menaja lawatan ke temasya berkenaan.

“Saya harap ia dapat mendorong dia mempelajari lebih banyak teknologi baharu,” katanya.

Pada Mac lalu, China mengumumkan dana bernilai satu trilion yuan (AS$139 bilion) untuk menyokong syarikat pemula teknologi termasuk bidang robotik dan AI.

Negara itu kini merupakan pasaran robot industri terbesar di dunia dan pada April lepas telah menganjurkan acara separuh maraton robot humanoid pertama di dunia. - AFP

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD