BERLIN, 15 Ogos - Kelab Bundesliga, RB Leipzig pada Jumaat mengumumkan telah mengikat penyerang Brazil, Romulo dari kelab Turki, Goztepe, bagi menggantikan Benjamin Sesko yang berpindah ke Manchester United.
Pemain berusia 23 tahun itu menandatangani kontrak sehingga 2030 dengan yuran perpindahan dilaporkan berjumlah €25 juta atau (RM134.4 juta) termasuk bonus.
Leipzig sebelum ini terdesak mendapatkan penyerang baharu selepas kehilangan Sesko, 22, yang menyertai United dengan nilai perpindahan sekitar €85 juta (RM456.8 juta).
Romulo mempamerkan prestasi cemerlang musim lalu apabila menjaringkan 13 gol dan mencipta sembilan bantuan jaringan dalam 29 perlawanan liga.
Musim lalu, Leipzig menamatkan saingan di tangga ketujuh Bundesliga.
Kedudukan itu menyebabkan kelab berkenaan terlepas tiket ke pentas Eropah sejak beraksi di liga utama dan kini melalui proses pembinaan semula dalam musim pertama Jurgen Klopp sebagai ketua global bola sepak Red Bull.
Selain Romulo, Leipzig turut membawa masuk beberapa pemain muda berpotensi termasuk pemain sayap Johan Bakayoko dan pemain tengah Arthur Vermeeren, selain melantik Ole Werner sebagai pengurus baharu.
“Kami yakin Romulo akan menjadi aset penting kepada pasukan, terutama dengan kemampuan menjaringkan gol dan mencipta peluang.
"Dia memiliki profil yang sesuai dengan hala tuju baharu pasukan,” kata Leipzig dalam kenyataan ringkas. - AFP