KUALA LUMPUR, 15 Ogos - Bekas pemain hoki kebangsaan, Arrifin Mohd Ghani dilantik Pesuruhjaya Sukan (PJS) yang baharu berkuat kuasa hari ini dengan kontrak selama dua tahun.
Pelantikan itu diumumkan Pejabat PJS menerusi laman Facebook rasminya, bagi menggantikan Datuk Suhardi Alias yang menyandang jawatan berkenaan sebelum ini.
Arrifin yang bermain untuk skuad hoki kebangsaan (1989–1993), pernah berkhidmat di Majlis Sukan Negara (MSN) dan graduan undang-undang yang diiktiraf sebagai Tokoh Alumni Sukan Universiti Teknologi MARA (UiTM).
Beliau juga adalah atlet kedua yang dilantik memegang jawatan ini selepas Datuk Zaiton Othman yang merupakan bekas olahragawati kebangsaan (1982) yang pernah menjadi PJS sebelum ini.
Sementara itu, Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh menzahirkan ucapan tahniah diatas pelantikan Arrifin
“Dengan kombinasi pengalaman di padang, pentadbiran dan akademik, saya optimis beliau mampu memantapkan persatuan serta organisasi sukan negara. Selamat bertugas!,” katanya dalam kenyataan. - BERNAMA