KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Kontinjen Malaysia menegaskan misi mereka ke Sukan SEA Pekak di Jakarta kali ini bukan sekadar untuk menyertai pertandingan, sebaliknya mahu menghadiahkan kejayaan sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara.
Presiden Persatuan Sukan Orang Pekak Malaysia (MSDeaf), Ong Shin Ruenn berkata, semua atlet berada pada tahap kecergasan 100 peratus selepas menjalani persiapan rapi bersama barisan jurulatih masing-masing.
“Kami ke Jakarta dengan penuh fokus. Kehadiran kami bukan untuk suka-suka, tetapi mahu membawa pulang pingat sebagai hadiah buat Malaysia sempena Hari Kemerdekaan,” katanya ketika ditemui sebelum keberangkatan kontinjen di Lapangan Terbang Antarabangsa Sepang, pagi tadi.
Menurut beliau, semangat ibu bapa serta sokongan pegawai Majlis Sukan Negara turut menjadi pembakar semangat kepada atlet muda berusia seawal 11 tahun yang bakal bersaing di pentas Asia Tenggara itu.
Menerusi keyakinan tinggi dan sasaran pingat yang jelas, kontinjen pekak Malaysia bertekad mengibarkan Jalur Gemilang di Jakarta.
Kontinjen Malaysia terdiri daripada 80 orang, termasuk 53 atlet dan 27 pegawai, menjadikannya delegasi kedua terbesar selepas tuan rumah Indonesia.
Pada temasya kali ini, kontinjen negara menyasarkan 16 pingat emas dengan pecahan enam dalam acara olahraga, lima dalam boling tenpin, dua dalam badminton, dua dalam catur dan satu dalam acara futsal lelaki.