KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Dua bekas pelumba import berpengalaman yang pernah menyarung jersi Terengganu Cycling Team (TSG) kini menjadi taruhan pasukan ProTeam Sepanyol, Burgos-Burpellet BH dalam saingan PETRONAS Le Tour de Langkawi 2025 (PLTdL25) bermula 28 September hingga 5 Oktober depan.
Dalam senarai awal enam pelumba yang dihantar kepada Sekretariat PLTdL, Burgos yang tampil buat kali keempat berturut-turut menurunkan Merhawi Kudus dan Jambaljamts Sainbayar, selain mengekalkan pemenang jersi polka dot Raja Bukit tahun lalu, Mario Aparicio Munoz.
Tiga lagi pelumba yang disenaraikan ialah David Martin, Georgios Bonglas dan Jose Manuel Diaz Gallego, masing-masing pernah beraksi dalam saingan terdahulu.
Ketua Pegawai Operasi PLTdL25, Emir Abdul Jalal berkata, berdasarkan komposisi pelumba, Burgos dilihat berupaya memburu sekurang-kurangnya tiga gelaran sepanjang lapan peringkat perlumbaan.
“Merhawi Kudus, Sainbayar, Aparicio dan Gallego merupakan pendaki berpengalaman. Justeru, selain memburu kemenangan di Peringkat 3 Gerik–Pasir Puteh dan Peringkat 5 Temerloh–Bukit Fraser, mereka juga dijangka mengintai jersi hijau, jersi polka dot dan kedudukan teratas berpasukan keseluruhan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Kudus, pelumba Eritrea berusia 31 tahun, pernah menyarung jersi TSG tahun lalu dan mula mencuri tumpuan sejak bersama MTN-Qhubeka pada 2014 apabila menamatkan saingan PLTdL di tempat kedua keseluruhan. Dia kemudian menyertai pasukan WorldTeam Astana (2019–2021) dan EF Education (2022–2023) dengan rekod penampilan di Giro d’Italia (dua kali), Tour de France (sekali) dan Vuelta a España (enam kali).
Sainbayar, juga berusia 31 tahun, menyertai TSG selama tiga musim (2021–2023) dan pernah menduduki tempat kesembilan keseluruhan PLTdL 2022, selain menjuarai pelbagai kejohanan peringkat Asia sebelum berhijrah ke Burgos pada tahun lalu.
Aparicio, 25, pula menebus kepercayaan pasukan sejak 2021 apabila muncul Raja Bukit PLTdL24 dengan 27 mata, lima mata mengatasi juara keseluruhan, Max Poole (Team Firmenich PostNL).
Menguatkan lagi cabaran Burgos ialah Gallego, 31, yang pernah dua kali menyertai Vuelta (2022 dan 2023) serta meraih dua anugerah Kombativiti dalam saingan itu.
Bagi acara pecut, Burgos mempertaruhkan Martin, 26, yang pernah beraksi bersama Polti Kometa di PLTdL24, serta juara kebangsaan Greece tiga kali, Bonglas, 35, yang membuat penampilan sulung di PLTdL 2020.
“Kekuatan Burgos kali ini tertumpu pada laluan mendaki. Dengan empat pendaki utama, percaturan mereka pasti menarik, terutama kelibat Kudus, Sainbayar dan Aparicio di laluan berbukit. Pengalaman serta pengetahuan mereka mengenai bentuk laluan dan cuaca negara ini juga memberi kelebihan tersendiri,” tambah Emir.
PLTdL25 akan meliputi kesemua 12 negeri Semenanjung Malaysia dengan jarak keseluruhan 1,243.5 kilometer, bermula di Pulau Langkawi pada 28 September dan berakhir di KLCC pada 5 Oktober.
Saingan berstatus ProSeries dalam kalendar Jelajah Asia UCI itu dianjurkan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Majlis Sukan Negara (MSN) dengan sokongan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF).
Senarai Pelumba Burgos-Burpellet BH :
- Merhawi Kudus (ERI)
- David Martin (ESP)
- Jambaljamts Sainbayar (MGL)
- Mario Aparicio (ESP)
- Georgios Bonglas (GRE)
- Jose Manuel Diaz Gallego (ESP)