fb fb fb fb fb

Kejohanan Dunia : Wan Arif kurang sihat, persiapan beregu lelaki sedikit terganggu

Pemain beregu lelaki negara Wan Arif Wan Junaidi / BERNAMA

KUALA LUMPUR, 19 Ogos – Persiapan skuad beregu lelaki negara menjelang Kejohanan Badminton Dunia di Paris sedikit terganggu apabila pemain muda, Wan Arif Wan Junaidi dilaporkan kurang sihat hanya beberapa hari sebelum kejohanan bermula.

Ketua jurulatih beregu lelaki negara, Herry Iman Pierngadi berkata, meskipun Wan Arif sudah kembali ke gelanggang, tahap kecergasannya masih belum mencapai tahap terbaik.

Bagaimanapun, beliau memaklumkan persiapan dua lagi pasangan utama, Aaron Chia – Soh Wooi Yik serta Man Wei Chong – Tee Kai Wun, yang menjadi sandaran untuk membawa pulang pingat, berada dalam keadaan baik dan di landasan tepat.

“Setakat ini, Aaron–Soh dan Man–Tee berada pada tahap memuaskan. Namun, Roy King dan Wan Arif sedikit terganggu.

“Arif mengalami masalah kesihatan semalam hingga tidak menjalani latihan. Hari ini beliau sudah kembali berlatih, namun belum pulih sepenuhnya. Hanya beberapa program latihan ringan dapat disertainya mengikut keadaan fizikal semasa.

“Tadi saya lihat dia masih mampu menjalani latihan, cuma kecergasan belum pulih sepenuhnya. Memang ada sedikit kebimbangan, tetapi saya berharap esok keadaannya bertambah baik,” katanya selepas sesi latihan di sini, hari ini.

Arif–Roy King dijadualkan memulakan kempen di Paris menentang pasangan Jepun ranking ke-34 dunia, Kenya Mitsuhashi–Hiroki Okamura.

Sebelum ini, pasangan ranking ke-22 dunia itu meraih gelaran sulung mereka pada Kejohanan Terbuka Macau, 29 Julai lalu.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE