fb fb fb fb fb

Perak fokus rawatan tanah tapak Kompleks Sukan Seri Iskandar

Khairudin Abu Hanipah pada Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes 2025 di Dataran Cempaka Sari, Parit

PARIT, 19 Ogos – Kerajaan negeri Perak akan memberi tumpuan kepada proses rawatan tanah di lokasi cadangan pembangunan Kompleks Sukan Seri Iskandar sebelum permohonan rasmi dikemukakan kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi pertimbangan dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13).

Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan negeri, Khairudin Abu Hanipah berkata, pembinaan kompleks berkenaan akan dijadikan salah satu keutamaan pembangunan sukan di Perak.

“Cuma kita ada sedikit permasalahan dari segi tapak yang dicadangkan Pejabat Tanah dan Daerah Perak Tengah kerana ia memerlukan kerja-kerja rawatan yang agak tinggi kosnya.

"Namun yang penting, proses itu telahpun dimulakan sejak awal 2018 lagi, termasuk dari segi penyediaan tapak, kesesuaian dan sebagainya.

"Perkara ini sedang terus diperjuangkan, dan kita sama-sama doakan agar harapan serta impian penduduk Perak Tengah untuk memiliki Kompleks Sukan Seri Iskandar dapat direalisasikan nanti, insya-Allah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Konvoi Merdeka Klasik Mercedes 2025 di Dataran Cempaka Sari, Parit, pagi tadi.

Semalam, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abdul Halim menegaskan isu ketersediaan tapak projek perlu diselesaikan di peringkat kerajaan negeri terlebih dahulu sebelum permohonan rasmi dikemukakan semula kepada KBS.

Permohonan berhubung projek itu dijangka dibawa semula untuk pertimbangan dalam RMK13 sekitar hujung tahun ini hingga tahun hadapan.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE