LANGKAWI, 26 September- Program Sea-Doo Escape di Langkawi berjaya menarik lebih 400 peserta dari 18 buah negara.
Antaranya, Brazil, Kanada, Switzerland, Taiwan dan Filipina termasuk Malaysia.
Menurut Wakil Sea-Doo Malaysia, Nurul Diana Hashim program yang menghimpunkan kenderaan air persendirian itu merupakan program julung kali diadakan di Asia dan Malaysia.
Program itu dilaksana bertujuan menjalankan kempen “responsible rider” bagi menerapkan sikap bertanggungjawab dan beretika dalam kalangan penunggang jet ski.
Program yang berlangsung selama dua hari itu bermula semalam selain turut disertai selebriti tanah air yang juga duta Sea-Doo Malaysia, Fizo Omar.
“Tempat yang dilarang masuk kita elakkan demi menjaga terumbu karang. Jangan membuang sampah merata-rata dan sudah tentu jet ski ini aktiviti yang sangat menyeronokkan.
Jadi, kita mahu mendidik semua penunggang agar dapat berseronok, tetapi keselamatan tetap diutamakan," kata Fizo kepada pemberita, hari ini.
Fizo turut berharap pengguna jet ski yang lain juga beretika dan sentiasa bertanggungjawab terhadap isu keselamatan serta kebersihan lautan semasa menggunakan kenderaan air tersebut.
