LONDON, 26 September- Pertahanan muda Liverpool, Giovanni Leoni dijangka berehat sekitar setahun selepas mengalami kecederaan anterior cruciate ligament (ACL) ketika membantu pasukannya menewaskan Southampton 2-1 dalam saingan Piala Liga, Selasa lalu.
Pengurus The Reds, Arne Slot berkata pemain berusia 18 tahun itu yang direkrut dari Parma dengan nilai perpindahan £26 juta (RM152 juta) mengalami kecederaan pada minit ke-81 dan terpaksa diusung keluar padang.
Slot turut mendedahkan Liverpool sedang meneliti kemungkinan mendaftarkan Federico Chiesa dalam skuad Liga Juara-Juara menggantikan Leoni.
Liverpool seterusnya akan berdepan Crystal Palace dalam aksi liga pada Sabtu, dengan Slot masih belum pasti mengenai tahap kecergasan penyerang termahal kelab, Alexander Isak, manakala Hugo Ekitike digantung perlawanan.
Liverpool dan Palace muncul dua pasukan yang masih mengekalkan rekod tanpa kalah musim ini, dengan juara bertahan itu menerajui liga selepas mengutip 15 mata maksimum daripada lima perlawanan. -REUTERS