fb fb fb fb fb

Palsu dokumen: FIFA denda FAM RM1.8 juta, tujuh pemain digantung

Foto Fail

KUALA LUMPUR, 26 September- Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengenakan tindakan tegas terhadap Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) serta tujuh pemain negara selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan pemalsuan dokumen.

FIFA dalam kenyataan di laman sesawangnya memaklumkan FAM didapati menggunakan dokumen yang diubah suai ketika membuat semakan kelayakan kepada FIFA bagi membolehkan tujuh pemain beraksi mewakili skuad kebangsaan.

Jawatankuasa Tatatertib FIFA memutuskan FAM didenda kira-kira RM1.8 juta dan setiap pemain terlibat didenda kira-kira RM10,600 serta digantung 12 bulan daripada semua aktiviti berkaitan bola sepak berkuat kuasa serta-merta.

"Antara pemain terbabit ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomás Garcés, Rodrigo Julián Holgado, Imanol Javier Machuca, João Vitor Brandão Figueiredo, Jon Irazábal Iraurgui dan Hector Alejandro Hevel Serrano," kata kenyataan itu.

Kesemua mereka diturunkan ketika Malaysia menentang Vietnam pada pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 di Arab Saudi pada 10 Jun lalu, sebelum FIFA menerima aduan berhubung status kelayakan beberapa pemain.

"Isu kelayakan pemain berkenaan kini turut dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan lanjut.

FAM dan pemain terbabit telah dimaklumkan mengenai keputusan itu hari ini," tambah kenyataan itu.

Mengikut peruntukan FDC, FAM mempunyai tempoh 10 hari untuk memohon keputusan penuh bertulis sebelum ia diterbitkan di laman rasmi undang-undang FIFA.

Keputusan itu juga boleh dirayu kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM