KUCHING, 15 Oktober - Sarawak menetapkan sasaran kutipan 64 pingat emas pada temasya Para Sukan Malaysia (Para Sukma) 2022 yang akan berlangsung di sekitar Lembah Klang dari 1 hingga 6 November ini.
Timbalan Menteri Pembangunan dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak yang merupakan Chef De Mission pasukan Para Sukma Sarawak Mohammad Razi Sitam berkata sasaran itu sekali gus membolehkan Sarawak menjadi juara keseluruhan temasya sukan itu.
"Seramai 168 atlet Para Sukma Sarawak bakal menyertai temasya itu bersama 84 pegawai sukan, 35 orang sekretariat dan 25 anggota perubatan, sasaran kita ialah 64 pingat emas tahun ini," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Hari Tongkat Putih Antarabangsa 2022 di sini.
Beliau berkata atlet yang berjaya merangkul pingat akan menerima ganjaran dari kerajaan negeri Sarawak. - BERNAMA