GIJON, 15 Oktober- Dominic Thiem dan Andrey Rublev akan bertembung di peringkat separuh akhir Terbuka Gijon selepas masing-masing berjaya melepasi peringkat suku akhir.
Thiem ketika ini dalam pemburuan gelaran jelajah ATP pertamanya sejak kali terakhir menjuarai Terbuka Amerika Syarikat pada 2020.
Ranking pemain Austria itu juga jatuh ke kedudukan 162 dunia selepas dipaksa berehat panjang ekoran kecederaan.
Namun, Thiem hampir menemui semula rentak sebenarnya ketika menyingkirkan pilihan ke-4 kejohanan, Francisco Cerundolo dari Argentina dengan 6-4, 6-3 di suku akhir.
Bekas pemain nombor 3 dunia itu bakal berdepan pilihan utama dari Rusia, Andrey Rublev bagi penentuan ke final.
Sementara itu, Rublev pula mara ke separuh akhir selepas menewaskan pilihan kelima dari Amerika Syarikat, Tommy Paul 7-5, 6-3.
Ini kemenangan keempatnya dalam lima pertemuan dengan Paul.
Pemain nombor 9 dunia itu dalam misi memenangi gelaran keempatnya musim ini selepas merangkul kejuaraan di Marseille, Dubai dan Belgrade.
Kejayaan ke separuh akhir ini turut mencerahkan peluang Rublev beraksi di pusingan akhir Jelajah ATP hujung tahun ini.
(Foto Web Terbuka Gijon)