fb fb fb fb fb

Rashford perlu lebih tajam di depan gawang - Ten Hag

FOTO AFP

MANCHESTER, 15 Oktober- Pemain sayap Manchester United, Marcus Rashford perlu lebih tajam di hadapan gawang ketika mengemudi jentera serangan pasukan.

Menurut pengendalinya, Erik Ten Hag, tuntutan itu perlu dilaksana sehabis baik demi memastikan matlamat kelab berjaya diraih pada musim ini.

Ia mengambil masa sehingga percubaan ke-34 untuk United menewaskan penjaga gol Omonia Nicosia, Francis Uzoho dalam Liga Europa pada selepas pemain gantian, Scott McTominay memastikan kemenangan 1-0 pada masa kecederaan.

Ketumpulan United di depan gawang amat mengecewakan tetapi mereka masih memenangi perlawanan ketiga berturut-turut dalam semua pertandingan selepas kekalahan 6-3 di tangan Manchester City awal bulan ini.

Ten Hag yakin bahawa pemainnya mampu untuk memberi saingan selain menyasarkan 20 gol berjaya dicetak pada musim ini.

“Saya rasa, kami ada pemain dalam skuad kami yang boleh menjaringkan gol sebanyak itu, tetapi anda juga boleh membahagikannya kerana kami mempunyai ramai penjaring gol di seluruh bahagian serangan.

"Namun, saya rasa kami juga memerlukan sesuatu dari bahagian tengah dan bahagian pertahanan," kata Ten Hag.

 
(Pengurus Manchester United, Erik Ten Hag/AFP)

Penjaring terbanyak United setakat musim ini ialah Rashford yang mempunyai lima gol dalam semua pertandingan.

Pemain antarabangsa England itu sepatutnya menambah jumlah itu memandangkan 10 percubaannya menentang Omonia tetapi sekurang-kurangnya telah menunjukkan tanda positif di bawah Ten Hag selepas musim 2021/22 yang menyedihkan.

"Dia melakukan banyak perkara dengan baik tetapi akhirnya dia tahu bahawa dia harus lebih tajam dan perlu menjaringkan gol," kata bos Belanda itu.

“Apabila anda mempunyai pergerakan yang begitu baik, anda membuat kombinasi yang begitu baik, anda mempunyai aksi yang begitu baik, maka anda perlu menamatkannya," tambahnya.

Antony Santos yang juga semakin menyerlah dilihat sebagai aset baharu serangan skuad The Red Devils itu dalam memburu kemenangan.

“Saya rasa kita telah melihat sekarang keupayaan menggeleceknya, kepantasannya, penyudahnya, juga mencipta,” kata Ten Hag dari pemain yang turut dilatihnya di Ajax.

"Tetapi kini dia juga perlu bekerja pada lebih banyak variasi. Dia seorang pemain yang boleh menyesuaikan diri dengan cepat ke tahap yang tinggi. Dia seorang pemain yang sukakan cabaran dan dia memerlukan cabaran."

Bintang Portugal, Cristiano Ronaldo pula dilaporkan mungkin akan memanaskan banku simpanan susulan Ten Hag menjangkakan Anthony Martial kembali cergas untuk melayani kunjungan Newcastle ke Old Trafford manakala kapten kelab, Harry Maguire kekal diketepikan kerana kecederaan.-AFP

Media Baharu