fb fb fb fb fb

Sarawak berminat jadi penganjur bersama Sukan SEA 2027, syor majlis perasmian dibuat di Bumi Kenyalang

Tan Sri Abang Johari (duduk tengah) pada sidang media selepas Program Larian Baton Sempena Temasya SUKMA Sarawak dan PARA SUKMA

KUCHING, 23 Jun- Kerajaan negeri Sarawak dan Kerajaan Persekutuan berhasrat untuk bekerjasama dalam penganjuran Sukan Asia Tenggara (SEA) 2027 setelah Malaysia dipilih menjadi tuan rumah bagi penganjuran temasya sukan itu.

Menurut Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg, pihak Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Belia dan Sukan (KBS) telah menjemput Sarawak menjadi penganjur bersama Sukan SEA 2027 yang dianggarkan menelan kos sejumlah RM750 juta.

Jelasnya, walaupun hal tersebut belum diputuskan secara rasmi, Sarawak menyatakan minat dan telah memberi beberapa cadangan serta syarat bagi penganjuran bersama temasya sukan itu.

"Perasmiannya kita cadangkan untuk diadakan di Sarawak dan majlis penutup di semenanjung, di Putrajaya, dan kita juga akan kongsi kos untuk menganjurkan Sukan SEA.

"Saya lihat ia bagus, peluang bagi kita untuk melihat bakat atlet kita di peringkat negara dan juga pesaing dalam arena Sukan SEA,"katanya.

Menurut beliau, sebagai penganjur bersama Sukan SEA 2027, Sarawak berpeluang untuk memperkasakan lagi inisiatif bawah Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak (PCDS) 2030, khususnya dalam aspek pembangunan bakat sukan di negeri itu.

Justeru, Tan Sri Abang Johari Tun Openg telah mengarahkan Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan (MYSED), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah untuk meneruskan berbincang dengan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh mengenai hal tersebut.

Premier Sarawak berkata demikian selepas menyempurnakan Program Larian Baton Sempena Temasya Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak dan PARA SUKMA yang berlangsung di Tebingan Kuching hari ini.

Program tersebut yang bermula pada 27 April lalu dan telah menjelajah 12 bahagian di seluruh Sarawak dari Bandar Lawas hari ini tiba di Kuching.

Larian baton berkenaan telah melibatkan penyertaan daripada pelbagai agensi-agensi kerajaan, institusi pengajian tinggi, sekolah menengah dan sekolah rendah serta atlet-atlet tempatan.

Sebanyak 37 sukan bakal dipertandingkan pada SUKMA Sarawak 2024 bermula 17 hingga 24 Ogos ini manakala Para SUKMA yang berlangsung 20 hingga 28 September nanti akan menyaksikan sebanyak 10 sukan dipertandingkan.

Turut hadir pada program tersebut ialah Timbalan Premier, Datuk Dr Sim Kui Hian, bersama Pengerusi Bersama Jawatankuasa Indul SUKMA Sarawak 2024 iaitu, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah dan Menteri Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti Sarawak,Datuk Seri Fatimah Abdullah.

SITI AIYSHAH BINTI BASLIE