fb fb fb fb fb

Olimpik Paris 2024: Lima sukan potensi penyumbang pingat - MOM

Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria

TANJUNG MALIM, 23 Jun - Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menyasarkan lima sukan berpotensi menyumbang pingat kepada kontinjen negara pada Sukan Olimpik Paris 2024.

Sukan tersebut iaitu badminton, berbasikal, terjun, memanah dan sukan perahu layar.

Presiden MOM, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria berkata setakat ini tiada sasaran ditetapkan untuk bilangan pingat selain misi utama mencari pingat emas sulung negara.

Beliau berkata, kontinjen negara kini berada dalam prestasi terbaik untuk menggalas cabaran membutirkan emas pertama negara pada temasya sukan terbesar dunia itu.

"Emas itu dia bersamaan dengan kalau kamu dapat 10 perak pun tidak sama dengan satu emas itu, jadi saya fikir kita semua sepakat untuk kita merealisasikan pingat emas di Sukan Olimpik Paris, kita akan memberi tumpuan dalam perkara itu," katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman antara MOM dan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), serta sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024, di sini.

Kira-kira 5,000 warga UPSI dan masyarakat setempat, memeriahkan sambutan Hari Olimpik Sedunia yang turut diadakan serentak di lebih 200 negara, menjelang temasya Sukan Olimpik Paris.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN