ALOR SETAR, 18 Mei - Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor melahirkan perasaan kecewa di atas prestasi skuad bola sepak Kedah yang masih gagal mencipta kemenangan.
Terbaharu, Kedah Darulaman (KDA) FC sekadar mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Negeri Sembilan FC di laman sendiri.
Ujar Menteri Besar Kedah itu, KDA FC antara pasukan yang berbelanja besar dalam kancah bola sepak liga tempatan iaitu hampir RM1.7 juta sebulan dan sekiranya prestasi yang ditunjukkan kurang memberangsangkan, tentunya ianya mengecewakan peminat dan penyokong.
(Presiden Persatuan Bolasepak Kedah (KFA), Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)
Oleh itu, beliau berharap pemain dapat meningkat mutu permainan dan mampu mencipta kemenangan pada perlawanan seterusnya.
"Jika prestasinya kurang memberangsangkan tentulah ia mengecewakan penyokong, penonton, penaja dan penyumbang, saya harap pasukan kita kembali pulih selepas ini, meningkatkan prestasi, stamina, daya juang,semangat juang kerana pada tahun kita menghadapai kemelut dalam isu kewangan prestasi kita lebih baik, bila kita dapat atasi isu-isu pembayaran gaji, isu-isu kewangan, nampak macam sedikit menurun, saya sendiri kurang berpuas hati setakat ini apabila kita mengalami kekalahan berturut-turut," kata beliau kepada pemberita, di sini.
Selepas tewas tiga perlawanan menentang Sabah FC, Selangor FC dan Melaka FC, KDA FC sekadar mencatatkan keputusan seri dalam dua perlawanan menentang PJ City FC dan terbaharu dengan Negeri Sembilan FC.