fb fb fb fb fb

Santos pecat jurulatih selepas dimalukan Vasco

Jurulatih Kelab Santos, Cleber Xavier dipecat selepas pasukan tersebut tewas kepada Vasco Da Gama/ Foto REUTERS

SAO PAULO, 18 Ogos - Kelab gergasi Brazil, Santos, memecat jurulatih Cleber Xavier hanya beberapa jam selepas mengalami kekalahan memalukan 0-6 di laman sendiri kepada Vasco Da Gama dalam aksi Serie A, semalam.

Kekalahan besar itu menyaksikan Santos kini berada di tangga ke-15 liga dengan 21 mata daripada 19 perlawanan.

Santos kini berada satu anak tangga di atas zon penyingkiran.

Empat pasukan tercorot akan tersingkir ke Serie B pada penghujung musim.

“Santos Futebol Clube mengumumkan pemergian jurulatih Cleber Xavier.

"Kelab mengucapkan terima kasih atas khidmat beliau dan mendoakan kejayaan pada masa hadapan,” kata kelab itu dalam satu kenyataan di media sosial.

Xavier, 61, dilantik pada April lalu selepas berkhidmat lama sebagai penolong jurulatih di kelab seperti Palmeiras dan Flamengo.

Namun, beliau gagal mengangkat prestasi Santos yang baru kembali ke saingan utama musim ini selepas tersingkir buat kali pertama dalam sejarah kelab pada 2023.

Santos, yang pernah sinonim dengan kehebatan era legenda mendiang Pele pada 1950-an dan 1960-an, kini bergelut untuk mengekalkan status elit mereka.

Sepanjang sejarah, kelab pantai itu melahirkan ramai bintang besar termasuk Neymar, Robinho dan Rodrygo.

Neymar, yang kembali menyarung jersi Santos sejak Januari lalu selepas meninggalkan Al-Hilal, lantang mengkritik aksi hambar rakan sepasukan ketika dibelasah Vasco.

“Perlu ada penjelasan mengenai sikap kami di padang. Ringkasnya, ia amat teruk,” kata Neymar.

“Memalukan bermain seperti itu dengan jersi Santos. Semua orang perlu berfikir kembali sama ada mereka benar-benar mahu berjuang atau tidak.

"Jika dengan sikap seperti ini, lebih baik kami tidak muncul di padang", ujar Neymar.

Santos akan berkunjung ke Bahia yang kini berada di tangga keempat liga pada 24 Ogos depan. - REUTERS

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD