VANCOUVER, 18 Ogos - Jaringan lewat pada masa kecederaan oleh Jose Artur menyelamatkan Houston Dynamo apabila seri 1-1 menentang Vancouver Whitecaps.
Keputusan seri itu sekali gus merencatkan penampilan sulung bintang Jerman, Thomas Muller dalam aksi MLS, pada Ahad.
Vancouver mendahului seawal minit keenam menerusi sepakan penalti Brian White selepas Jayden Nelson dijatuhkan Griffin Dorsey.
Muller, 35, yang masuk sebagai pemain gantian pada minit ke-61, hampir menjadi wira Vancouver apabila menyumbat gol dua minit kemudian. namun gol berkenaan dibatalkan kerana ofsaid.
Houston bagaimanapun bangkit hasil rembatan jarak jauh Artur pada masa kecederaan selepas menerima hantaran Amine Bassi untuk berkongsi satu mata.
Vancouver gagal menembusi pertahanan Houston Dynamo meskipun menguasai perlawanan menerusi deretan peluang termasuk percubaan Nelson yang menggegar tiang gol disamping beberapa aksi cemerlang penjaga gol Houston, Yohei Takaoka. - AFP