fb fb fb fb fb

Salah raih Anugerah Pemain Terbaik PFA kali ketiga

Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) buat kali ketiga / Foto REUTERS

MANCHESTER, 20 Ogos - Penyerang Liverpool, Mohamed Salah dinobat sebagai Pemain Terbaik Tahunan Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) buat kali ketiga pada Selasa, menjadikannya pemain pertama memenangi anugerah tersebut sebanyak tiga kali.

Salah, 33, yang menyertai Liverpool pada 2017, menjaringkan 29 gol dan melakukan 18 bantuan jaringan musim lalu, sekali gus membantu kelab itu menjuarai Liga Perdana dengan kelebihan 10 mata mengatasi Arsenal.

Pemain Mesir itu sebelum ini merangkul anugerah Pemain Terbaik Liga Perdana, Kasut Emas dan Anugerah Playmaker, menjadikannya pemain pertama yang memenangi ketiga-tiga trofi tersebut dalam satu musim.

Beliau pernah memenangi anugerah PFA pada 2018 dan 2022 sebelum sekali lagi dipilih mengatasi senarai enam calon lain yang ditentukan melalui undian ahli PFA daripada 92 kelab Liga Perdana dan Liga Bola Sepak.

Antara calon lain ialah rakan sepasukan Alexis Mac Allister, Alexander Isak (Newcastle United), Bruno Fernandes (Manchester United), Declan Rice (Arsenal) dan Cole Palmer (Chelsea).

Terdahulu, pada April lalu, Salah menandatangani lanjutan kontrak dua tahun bersama Liverpool, menamatkan spekulasi mengenai perpindahannya ke Liga Pro Saudi.

Sementara itu, pemain tengah Aston Villa dan England, Morgan Rogers, dipilih sebagai Pemain Muda Terbaik selepas menjaringkan lapan gol liga musim lalu selain empat gol dalam Liga Juara-Juara termasuk hatrik menentang Celtic.

Pemain tengah Arsenal, Mariona Caldentey, dinobat Pemain Wanita Terbaik Tahun Ini dengan sembilan gol liga serta lapan gol Liga Juara-Juara, membantu Arsenal menewaskan bekas kelabnya Barcelona untuk meraih trofi.

Penyerang Kanada, Olivia Smith, 21, yang muncul penjaring terbanyak Liverpool musim lalu dengan sembilan gol, menerima anugerah Pemain Muda Wanita Terbaik. Beliau kini menyertai Arsenal dengan yuran perpindahan £1 juta (kira-kira RM5.93 juta), menjadikannya pemain wanita pertama melepasi angka tujuh digit.

Empat pemain Liverpool termasuk Salah turut disenaraikan dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana musim lalu, bersama pemain baharu dari Bournemouth, Milos Kerkez.

Pasukan Terbaik Liga Perdana:

Matz Sels (Nottingham Forest), Virgil van Dijk (Liverpool), Milos Kerkez (Bournemouth), William Saliba (Arsenal), Gabriel Magalhaes (Arsenal), Declan Rice (Arsenal), Ryan Gravenberch (Liverpool), Alexis Mac Allister (Liverpool), Mohamed Salah (Liverpool), Alexander Isak (Newcastle United), Chris Wood (Nottingham Forest). - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE