NEW YORK, 20 Ogos - Pengalaman beregu veteran mengatasi kemasyhuran perseorangan apabila juara bertahan Andrea Vavassori dan Sara Errani mara ke separuh akhir acara beregu campuran Terbuka Amerika Syarikat (AS) yang diberi nafas baharu pada Selasa, ketika kejohanan itu dimulakan dengan format dan peminat baharu.
Vavassori dan Errani menewaskan pemenang perseorangan Wimbledon 2022, Elena Rybakina dan finalis perseorangan Terbuka AS 2024, Taylor Fritz 4-2, 4-2, sebelum mengatasi Karolina Muchova dan Andrey Rublev 4-1, 5-4(4) di suku akhir.
Pasangan Itali itu mara menerusi tiket wild card.
Mereka mempunyai motivasi tambahan untuk mempertahankan kejuaraan ketika kejohanan terakhir tahun ini mengambil pendekatan baharu terhadap acara yang digemari peminat tetapi sering tenggelam dalam jadual padat perseorangan, dengan memindahkan saingan ke lima hari sebelum undian utama.
Format tahun ini menyaksikan lapan pasangan dipilih berdasarkan gabungan ranking perseorangan dan lapan lagi melalui wild card, langkah yang menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan beberapa pemain beregu termasuk Vavassori dan Errani, namun berjaya menarik penonton penuh di Stadium Arthur Ashe.
“Perkara positif sudah tentu apabila stadium dipenuhi penonton pada perlawanan kedua,” kata Vavassori.
“Ia sesuatu yang hebat untuk beregu dapat dilihat oleh lebih ramai orang. Saya harus memberi mereka kredit,” katanya. - REUTERS