LONDON, 20 Ogos - Penyerang Sweden, Alexander Isak, menuduh Newcastle United memungkiri janji serta mengelirukan penyokong menerusi kenyataan di media sosial pada Selasa yang turut mengesahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab Liga Perdana Inggeris itu.
Pemain berusia 25 tahun itu berkata beliau telah lama memaklumkan kepada pengurusan Newcastle mengenai keputusannya untuk berpindah.
Menurut laporan media, Isak menjadi sasaran bidaan bernilai £110 juta (RM648.4 juta) daripada Liverpool awal bulan ini. Beliau juga dinamakan dalam Pasukan Terbaik Liga Perdana PFA musim 2024/2025, namun memilih untuk tidak menghadiri majlis tersebut berikutan isu berterusan mengenai masa depannya.
Isak turut tidak diturunkan ketika Newcastle seri tanpa jaringan menentang Aston Villa pada Sabtu, manakala skuad kendalian Eddie Howe itu dijadualkan menentang juara bertahan Liverpool pada 25 Ogos ini. - REUTERS