fb fb fb fb fb

Alcaraz, Djokovic tersingkir awal beregu campuran Terbuka AS

Foto REUTERS

NEW YORK, 20 Ogos - Bintang tenis dunia Carlos Alcaraz dan Novak Djokovic tersingkir awal daripada acara beregu campuran Terbuka Amerika Syarikat yang diperbaharui formatnya, selepas tewas pada aksi pusingan pertama, pada Selasa.

Alcaraz yang bergandingan dengan bekas juara perseorangan wanita, Emma Raducanu, gagal menyaingi pilihan utama kejohanan Jack Draper dan Jessica Pegula apabila tunduk 4-2, 4-2. Draper-Pegula kemudian mara ke separuh akhir selepas menewaskan pasangan Rusia, Daniil Medvedev dan Mirra Andreeva, 4-1, 4-1.

Medvedev-Andreeva sebelum itu mempamerkan aksi bertenaga apabila menyingkirkan gandingan Serbia, Djokovic dan Olga Danilovic, dengan kemenangan 4-2, 5-3.

Sementara itu, pasangan Amerika Syarikat yang menyertai kejohanan pada saat akhir, Danielle Collins dan Christian Harrison, mencipta kejutan apabila melangkah ke separuh akhir. Mereka terlebih dahulu menumpaskan Alexander Zverev dan Belinda Bencic 4-0, 5-3, sebelum menewaskan rakan senegara, Ben Shelton dan Taylor Townsend, 4-1, 5-4(2).

Shelton-Townsend mara ke suku akhir selepas mengatasi Holger Rune dan Amanda Anisimova 4-2, 5-4(2). - REUTERS

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE