MARSEILLE, 20 Ogos - Kelab Ligue 1, Marseille menyenaraikan Adrien Rabiot dan Jonathan Rowe dalam senarai perpindahan selepas kedua-dua pemain itu terlibat dalam pertengkaran fizikal sejurus kekalahan 0-1 kepada Rennes dalam aksi pembukaan liga, Jumaat lalu.
Pertengkaran antara pemain tengah Perancis, Rabiot, 30, dan penyerang bawah 21 tahun England, Rowe, 22, dilaporkan berlaku di bilik persalinan selepas perlawanan yang menyaksikan Rennes menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan walaupun beraksi dengan 10 pemain.
Dalam kenyataan ringkas, Marseille menyifatkan tingkah laku kedua-dua pemain sebagai “tidak boleh diterima” dan mengesahkan mereka telah dimaklumkan mengenai keputusan itu pada Isnin.
Ibu dan ejen Rabiot, Veronique Rabiot, memberitahu radio RTL bahawa jurulatih Roberto De Zerbi membuat keputusan berkenaan kerana mendakwa wujud “kurang komitmen” daripada pemain.
Walaupun kelab pada awalnya menafikan laporan pergaduhan, sumber terdekat Marseille mengesahkan kepada AFP bahawa berlaku insiden “saling tumbuk” seperti dilaporkan akhbar sukan Perancis, L’Équipe.
Rabiot menyertai Marseille musim lalu selepas lima tahun bersama Juventus dan membantu pasukan itu mara ke Liga Juara-Juara, namun kariernya sering dihimpit kontroversi termasuk ketika bersama Paris Saint-Germain serta skuad kebangsaan Perancis.
Rowe pula berhijrah dari Norwich tahun lalu dan menjaringkan tiga gol dalam 28 penampilan musim pertamanya di Ligue 1. -AFP