fb fb fb fb fb

Salah jadi penyelamat, Liverpool rekod sempurna 4 perlawanan

Mohamed Salah muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan. / Foto REUTERS

LONDON, 14 September - Mohamed Salah muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada masa kecederaan untuk membantu Liverpool menewaskan Burnley 1-0 di Turf Moor, Ahad, sekali gus mengekalkan rekod sempurna dan kembali ke puncak Liga Perdana Inggeris.

Gol kemenangan pada minit ke-95 itu hadir selepas Hannibal Mejbri tertampan bola dengan tangan, memberikan peluang buat Salah yang tenang menyempurnakan sepakan.

Liverpool menjadi pasukan pertama dalam sejarah EPL menang empat perlawanan berturut-turut dengan jaringan kemenangan hadir pada 10 minit terakhir, termasuk aksi dramatik kali ini.

Skuad Arne Slot kini mengumpul 12 mata, tiga mata di depan Arsenal yang mendahului sehari sebelumnya selepas menewaskan Nottingham Forest 3-0.

Slot mengakui pasukannya bergelut mencipta peluang jelas menentang Burnley yang bertahan hampir sepanjang perlawanan, meskipun Liverpool mencatat 27 percubaan dengan hanya empat tepat ke sasaran.

Dalam aksi itu, Liverpool tanpa penyerang baharu Alexander Isak yang masih direhatkan, namun tetap menurunkan barisan berbisa termasuk Salah, Cody Gakpo, Florian Wirtz dan Hugo Ekitike.

Burnley pula terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Lesley Ugochukwu dilayangkan kad kuning kedua pada minit ke-84 kerana menjatuhkan Wirtz.

Liverpool terus mengasak dan akhirnya memperoleh ganjaran pada minit akhir untuk memastikan kemenangan keempat berturut-turut.

Burnley, yang kembali ke EPL musim ini, kekal dengan satu kemenangan dan tiga kekalahan daripada empat perlawanan awal musim. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI