fb fb fb fb fb

Haaland ledak dua gol, City benam United 3-0

Manchester City kekal enam mata di belakang pendahulu, Liverpool. / Foto AFP

MANCHESTER, 14 September - Erling Haaland meledak dua gol untuk membantu Manchester City meraih kemenangan 3-0 ke atas seteru setempat, Manchester United, dalam aksi Liga Perdana Inggeris di Etihad, pada Ahad.

Phil Foden membuka jaringan pada minit ke-18 hasil hantaran Jeremy Doku, sebelum Haaland menambah dua lagi gol pada babak kedua.

Penyerang Norway itu terlebih dahulu menyumbat gol kedua pada minit ke-53, namun turut mencetuskan detik pelik apabila gagal menyempurnakan peluang terbuka sejurus selepas itu.

Bagaimanapun, Haaland kembali menebus kesilapan dengan gol ketiga City pada minit ke-80 selepas kesilapan Harry Maguire.

Debut penjaga gol Itali, Gianluigi Donnarumma, turut mencuri perhatian apabila menafikan percubaan deras Bryan Mbeumo yang berpotensi mengubah momentum perlawanan ketika kedudukan 2-0.

Kemenangan itu amat bermakna buat City selepas dua kekalahan liga berturut-turut, selain memberi tonik sebelum menghadapi Napoli di Liga Juara dan pertemuan besar menentang Arsenal minggu depan.

United, yang kali pertama mendahului City dalam carta liga sejak lima tahun, terus dibayangi prestasi hambar bawah kendalian Ruben Amorim dengan hanya empat mata daripada empat perlawanan.

Kemenangan itu mengekalkan City enam mata di belakang pendahulu, Liverpool, namun mengembalikan keyakinan skuad Pep Guardiola dalam misi mempertahankan kejuaraan. - AFP

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI