KUCHING, 14 September - Kuching City FC melangkah bergaya ke suku akhir selepas menumpaskan DPMM FC 7-1 pada aksi di Stadium Negeri, dengan penyerang import dari Cameroon, Wanja Ronald Ngah, mencuri tumpuan menerusi hatrik.
Kemenangan besar itu memastikan skuad bimbingan Aidil Sharin Sahak mara dengan agregat 9-4 untuk berdepan Terengganu FC.
Skuad tuan rumah bermula cemerlang apabila Ngah hanya memerlukan dua minit untuk membuka jaringan, sebelum Danial Asri menambah gol kedua pada minit ke-13 hasil hantaran Ramadhan Saifullah.
Situasi bertambah sukar buat DPMM FC selepas pertahanan Jordan Rodrigues dilayangkan kad merah pada minit ke-20 kerana mengasari James Okwuosa.
Kelebihan pemain itu dimanfaatkan Kuching City yang menambah gol ketiga menerusi Ngah pada masa kecederaan separuh masa pertama.
Bersambung babak kedua, Ngah melengkapkan hatrik pada minit ke-53, namun pasukan pelawat cuba bangkit menerusi jaringan Muhammad Ramadhan Sananta pada minit ke-58.
The Cats bagaimanapun pantas kembali menguasai permainan apabila Ramadhan Saifullah menjaringkan gol kelima pada minit ke-60 sebelum Danial Asri sekali lagi menghasilkan jaringan menerusi tandukan pada minit ke-77.
Pemain Timor-Leste, Joao Pedro melengkapkan pesta gol Kuching City pada masa kecederaan untuk memastikan kemenangan bergaya 7-1.
