fb fb fb fb fb

Piala FA: Kelantan TRW mara ke suku akhir

Kelantan TRW mengesahkan slot suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas menyingkirkan KL City FC dengan agregat 3-2. / Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 14 September - Kelantan The Real Warriors FC (Kelantan TRW) mengesahkan slot suku akhir Piala FA 2025/2026 selepas menyingkirkan Kuala Lumpur (KL) City FC dengan agregat 3-2, meskipun tewas 0-1 pada perlawanan kedua di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras, malam ini.

Skuad kendalian E. Elavarasan itu bakal membuat perhitungan menentang sama ada Sabah FC atau Bunga Raya FC.

Dalam pertembungan itu, pasukan tuan rumah yang memburu jaringan awal tidak bernasib baik apabila percubaan Muhammad Safawi Rasid dari jarak dekat berjaya diselamatkan penjaga gol Kelantan TRW Damyan Damyanov pada minit kelapan.

Enam minit kemudian, Safawi sekali lagi hampir membuka jaringan, namun golnya dibatalkan selepas pengadil membuat semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).

Asakan berterusan KL City akhirnya membuahkan hasil pada babak kedua selepas Victor Ruiz menjaringkan gol pada minit ke-71 untuk mengurangkan defisit jaringan.

Bagaimanapun, kelebihan tipis itu masih tidak mencukupi untuk menafikan kemaraan Kelantan TRW yang menang 3-1 pada aksi pertama.

Sementara itu, pengendali Kelantan TRW, E. Elavarasan menyifatkan kecemerlangan penjaga gol pasukan berkenaan antara faktor yang membolehkan pasukannya mara ke suku akhir.

"Hari ini, penjaga gol pasukan (Valeriy) bermain dengan cemerlang. Menafikan setiap percubaan penyerang lawan.

"Persembahan yang ditunjukkan beliau membolehkan TRW mara ke peringkat seterusnya", ujar Elavarasan yang ditemui selepas perlawanan.

Dalam pada itu, jurulatih KL City, Risto Vidakovic akur dengan kekalahan pasukannya, namun tetap  memberi pujian kepada pasukannya yang telah bermain dengan baik sepanjang perlawanan.

"Inilah bola sepak. Para pemain telah memberikan segala-galanya. Namun, nasib tidak menyebelahi kami", ujarnya.

SITI NUR DIATIE BINTI ZAIDI