PETALING JAYA, 14 September - Penganjuran sulung Piala MADANI 2025 peringkat negeri Selangor diyakini mampu menjadi pemangkin kepada acara tahunan yang membudayakan sukan, mencungkil bakat belia serta menyemarakkan semangat komuniti.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Adam Adli Abd Halim berkata, kejohanan itu bertujuan menjadikan sukan sebagai platform pembangunan masyarakat.
"Kita jadikan sukan sebagai platform untuk masyarakat berlibur. Dengan adanya kategori bawah 12 tahun, anak-anak kecil mempunyai ruang untuk menyerlahkan bakat mereka.
Pertandingan berbentuk amal seperti ini juga dapat mengeratkan hubungan komuniti serta merapatkan pemimpin tempatan dengan rakyat.” katanya ketika ditemui pemberita semasa perlawanan amal bersama artis dan selebriti di sini, malam ini.
Kejohanan julung kali itu dianjurkan oleh Anwar Ibrahim Club (AIC) dengan kerjasama Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kerajaan Negeri Selangor serta Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Beliau juga optimis penganjuran itu mampu diperluaskan ke negeri-negeri lain.
“AIC sejak dahulu lagi melaksanakan program di seluruh negara. Untuk edisi Selangor ini, kita tampilkan bola sepak dan e-sukan.Selepas ini tentu akan diperluaskan ke negeri lain dengan kerjasama lebih banyak pihak." jelasnya.
Beliau juga berharap agar kejohanan tersebut dapat meningkatkan semangat masyarakat dan menggalakkan lebih banyak acara seumpamanya.
"Kejohanan ini dapat menampilkan sisi masyarakat yang lebih sporty dengan penglibatan pemimpin dan selebriti. Semoga semua pihak dapat menikmati acara ini sekali gus mendorong lebih banyak penganjuran sukan yang membudayakan masyarakat," katanya lagi.
Tiga acara yang dipertandingkan melibatkan kategori bola sepak terbuka, bawah 12 tahun dan e-sukan FC25, masing-masing menarik penyertaan 24 pasukan, 16 pasukan dan 55 peserta.
Bagi kategori bola sepak bawah 12 tahun, juara menjadi milik Prime XII Putrajaya yang membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi dan pingat.
Sementara itu, kategori bola sepak terbuka dimenangi Bullet FC yang membawa pulang wang tunai RM5,000 manakala kategori e-sukan FC25 dimenangi Putera Sufrie Nizam yang membawa pulang wang tunai RM3,000 beserta trofi dan pingat.
Dengan penyertaan hampir 100 pasukan dan individu, Piala MADANI 2025 diyakini menjadi landasan penting untuk mengangkat bakat belia ke peringkat lebih tinggi.
