SUZUKA, 15 September – Pasukan Johor Motorsports Racing (JMR) mencatat keputusan membanggakan dengan meraih dua podium pada perlumbaan lasak Suzuka 1000 kilometer.
Jentera Corvette Z06 GT3.R bernombor #2 yang dipandu Nicky Catsburg, Scott McLaughlin dan Alexander Sims menamatkan saingan di tempat ketiga keseluruhan dalam kategori Pro, menewaskan cabaran 33 pelumba lain.
Sementara itu, jentera #99 yang dikemudi Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor; Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Putera Johor; serta Konsta Lappalainen turut berjaya menamatkan perlumbaan di tempat ketiga kategori Pro-Am.
Kejayaan berganda itu sekali gus mengharumkan nama Johor dan Malaysia di pentas perlumbaan antarabangsa.
