fb fb fb fb fb

Saingan peringkat ke-5 LTdL uji mental, fizikal pelumba

Pelumba Tudor Pro Cycling, De Kleijn

AYER KEROH, 3 Oktober- Saingan peringkat ke-5 Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 dari Kuala Lumpur ke Melaka mencabar mental dan fizikal kesemua 105 pelumba.

Semua pelumba sebelum itu telah menempuh dua zon pendakian dan satu zon pecutan. 

Zon pendakian pertama dimenangi wakil Terengganu Cycling Team (TSG), Andreas Miltiadis, manakala zon pendakian kedua di bukit hantu diungguli Mario Aparicio Munoz daripada pasukan Burgos-BH. 

Pelumba DSM-Fermenich PostNL, Max Poole sempat menguasai zon pecutan pertama sebelum komisar menghentikan seketika perlumbaan pada kilometer ke-85 susulan cuaca hujan lebat di Negeri Sembilan. 

Sebaik perlumbaan dimulakan semula, pelumba Tudor Pro Cycling, Simon Pellaud mengatur gerak dan menguasai zon pendakian terakhir di Bukit Mantin. 

Sementara itu baki dua zon pecutan kekal didominasi Max Poole.

Menuju akhir saingan, perancangan De Kleijn melakukan henjutan pada 500 meter terakhir membolehkan beliau melintasi garisan penamat sebagai pemenang. 

"Tiga lagi peluang, saya tidak menjangkakan semuanya akan menang keseluruhan. Tetapi semua saingan ini agak sukar untuk menang.

"Jadi kami cuma cuba yang terbaik dan tiga peluang lagi. Saya akan meneruskan saingan lagi di sini," katanya kepada pemberita di sini.

Sementara itu Max Poole masih kekal menyarung jersi hijau selaku pendahulu keseluruhan. 

Begitu juga dengan jersi polka dot selaku raja bukit masih dikuasai pelumba Burgos-BU, Mario Aparizio Munoz.

0310 LTDL LE KLEIN MENANG 2Muhammad Nur Aiman Rosli

Pada saingan ke-5 hari ini, pelumba dari TSG Muhammad Nur Aiman Rosli muncul sebagai pelumba terbaik Malaysia.

Beliau berjaya menamatkan saingan pada kedudukan ke-21 walaupun tidak bermula baik pada awal saingan.

"Pada kilometer pertama tadi tidak begitu baik, kemudian Aiman kayuh semuka dekat pendakian.

"Apabila sampai di Seremban, hujan lebat menghentikan saingan. Hujan lebat di Seremban," katanya.

Dalam pada itu ketiadaan pelumba berpengalaman Mohd Harrif Saleh pada baki tiga perlumbaan dilihat akan menjejaskan rentak Terengganu Cycling Team (TSG). 

Ketua Pegawai Operasi TSG Nasiruddin Bin Wan Idrus berkata, perkara itu berikutan pelumba berusia 36 tahun itu antara sandaran utama memenangi jelajah itu.

Bagaimanapun Nasiruddin kekal optimis TSG masih mampu beri saingan kepada 21 pasukan lain.

"Kita akan letakkan sandaran kepada Anatoliy Budyak, Aiman Rosli dan Aiman Zhariff untuk melakukan sesuatu.

"...dan mereka telah buktikan Aiman Rosli pada Kejohanan Pro Thailand, beliau sampai solo ke garisan penamat," katanya.

Harrif antara lima pelumba Malaysia yang disingkirkan daripada LTdL 2024 selepas gagal menamatkan perlumbaan dalam had masa ditetapkan pada saingan dari Kuala Kubu Bharu ke Bentong semalam. 

Turut tersingkir, dua pelumba Malaysia Pro Cycling (MPC), Muhammad Fahmi Khairul dan Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil, wakil pasukan Nusantara, Zulhelmi Zainal serta Abdul Azim Aliyas daripada pasukan Kebangsaan.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI