fb fb fb fb fb

Sabalenka tarik diri daripada Terbuka China kerana kecederaan

Aryna Sabalenka/Reuters

BEIJING, 17 September- Pemain nombor satu dunia, Aryna Sabalenka menarik diri daripada kejohanan Terbuka China minggu depan selepas mengalami kecederaan ketika menjuarai Terbuka Amerika Syarikat (AS), awal bulan ini.

Bintang Belarus itu, yang menewaskan Amanda Anisimova untuk mempertahankan gelaran Terbuka AS 10 hari lalu, disahkan tidak dapat beraksi dalam kejohanan WTA 1000 di Beijing yang bermula 24 September.

“Aryna masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialaminya semasa Terbuka AS dan akan terlepas aksi Terbuka China 2025,” kata penganjur dalam kenyataan.

Sabalenka, yang mara ke suku akhir di Beijing tahun lalu, menyatakan rasa kecewa di platform media sosial China, Weibo, apabila terpaksa menarik diri selepas mengalami “kecederaan kecil” di Flushing Meadows.

“Saya akan menumpukan perhatian kepada proses pemulihan dan berusaha untuk kembali ke gelanggang pada tahap 100 peratus,” katanya.

Pemain berusia 27 tahun itu dijadual mempertahankan gelaran di Terbuka Wuhan bulan depan iaitu kejohanan WTA 1000 terakhir bagi musim 2025.

“Saya tidak sabar untuk bertemu peminat di China tidak lama lagi. Saya juga menantikan untuk kembali ke Beijing tahun depan,” tambahnya. -REUTERS

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM