fb fb fb fb fb

Masters China: Jun Hao mara, Zii Jia kandas

Foto BWF

KUALA LUMPUR, 17 September- Perseorangan lelaki negara, Leong Jun Hao berjaya meneruskan perjuangan ke pusingan 16 Masters China 2025.

Kejayaan itu diraih selepas menundukkan lawan dari Indonesia, Anthony Sinisuka Ginting dalam aksi rubber set, 21-19, 5-21 dan 21-10 dalam tempoh 54 minit.

Jun Hao selepas ini dijadual berdepan pilihan keempat kejohanan iaitu Li Shi Feng dari China.

Turut mengecapi kejayaan sama, gandingan beregu campuran negara, Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin.

Mereka memulakan aksi bertenaga dalam kejohanan itu apabila mencatatkan kemenangan straight sets ke atas pasangan di ranking 31 dunia, Adnan Maulana-Indah Cahya Sari Jamil dari Indonesia.

Pang Ron-Su Yin menang 21-6 dan 21-14.

Pasangan itu bakal berdepan cabaran sukar di pusingan seterusnya apabila dijadual bekas juara dunia, Feng Yan Zhe-Huang Dong Ping dari China.

Sementara itu, tiga lagi wakil negara terkandas.

Hasrat perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia untuk mara lebih jauh tidak kesampaian apabila terpaksa menarik diri pada pusingan kedua, hari ini.

Zii Jia yang menentang pemain nombor 15 dunia dari Taiwan, Lin Chun Yi, tewas dengan keputusan 21-17, 21-23, 6-14 sebelum menarik diri pada set penentuan.

Rekod pertemuan antara kedua-dua pemain kini terikat 2-2.

Beregu lelaki negara, Arif Junaidi-Yap Roy King turut gagal melangkah ke pusingan seterusnya apabila tewas kepada pasangan India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada aksi pusingan 32, hari ini.

Gandingan negara yang menghuni ranking ke-20 dunia itu tunduk 22-24, 13-21 dalam masa 42 minit kepada beregu nombor tujuh dunia tersebut.

Kekalahan itu juga menyaksikan Arif-Roy King sekali lagi gagal menebus kekalahan mereka kepada lawan sama di suku akhir Terbuka Hong Kong 2025.

Turut berdepan nasib sama, beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi gagal melangkah ke pusingan seterusnya selepas tewas kepada pasangan Taiwan, Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin.

Pasangan ranking ke-21 dunia dari Taiwan itu mencatat kemenangan mudah 21-10, 21-7 dalam masa hanya 20 minit, sekali gus mendahului 1-0 dalam rekod pertemuan sulung kedua-dua beregu.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM