fb fb fb fb fb

Partey nafi tuduhan rogol, serangan seksual di mahkamah

Bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey tiba di Mahkamah Southwark Crown, London bagi menghadapi pertuduhan rogol dan serangan seksual membabitkan tiga wanita/ Foto REUTERS

LONDON, 17 September – Bekas pemain tengah Arsenal, Thomas Partey mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan rogol dan serangan seksual membabitkan tiga wanita ketika hadir di Mahkamah Southwark Crown, London pada Rabu.

Pemain antarabangsa Ghana berusia 32 tahun itu didakwa atas lima pertuduhan rogol ke atas dua wanita, serta satu pertuduhan serangan seksual terhadap seorang lagi wanita, yang didakwa berlaku antara April 2021 hingga Jun 2022.

Kesalahan itu dikatakan berlaku semasa beliau masih bersama kelab Liga Perdana Inggeris, Arsenal. Partey meninggalkan kelab tersebut musim panas ini selepas kontraknya tamat, sebelum menyertai kelab La Liga, Villarreal secara perpindahan percuma.

Di mahkamah, Partey hanya mengesahkan nama dan tarikh lahir selain mengemukakan pengakuan tidak bersalah.

Partey sebelum ini menyertai Arsenal dari Atletico Madrid pada tahun 2020 dengan nilai perpindahan €50 juta dan menjadi tonggak utama pasukan itu dengan 52 penampilan dalam semua kejohanan musim lalu.

Beliau pertama kali ditahan pada Julai 2022 tetapi tidak dinamakan ketika itu dan terus bermain untuk Arsenal sementara siasatan dijalankan.

Kes ini dijadualkan untuk perbicaraan lanjut di mahkamah dalam tempoh akan datang. -REUTERS

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN