fb fb fb fb fb

Kejohanan Ragbi 7 sebelah Asia: Skuad lelaki negara guna pemain tempatan sepenuhnya

Ketua jurulatih skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara, Nik Safuan Ismade Nik Man/ Foto RTM

SUNGAI BULOH, 17 September - Skuad ragbi tujuh sebelah (7s) lelaki negara kekal mempertaruhkan sepenuhnya pemain tempatan meskipun berpeluang menggunakan khidmat pemain naturalisasi menjelang Kejohanan Ragbi 7 sebelah Asia 2025 Siri 1 (Asia Rugby Emirates Sevens Series 2025).

Ketua jurulatih, Nik Safuan Ismade Nik Man menegaskan keputusan itu selari dengan pendekatan pasukan sejak dahulu yang sentiasa mengekalkan identiti pemain tempatan.

“Untuk 7s, kita tidak perlukan pemain naturalisasi. Kita sudah buktikan kemampuan di Bangkok 2023 apabila mara ke separuh akhir dan menamatkan saingan di tempat ketiga. Dengan persediaan dan latihan mencukupi, saya yakin pemain tempatan mampu mengulangi pencapaian itu,” katanya selepas Majlis Simbolik Penyerahan Jalur Gemilang kepada Bunga Raya 7s, di sini hari ini.

Dalam undian pusingan pertama, Malaysia diundi menentang Hong Kong, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Uzbekistan.

Hong Kong dan UAE dianggap pilihan utama selepas menurunkan barisan pemain naturalisasi, termasuk enam pemain Fiji bersama UAE.

“Realistiknya, kita perlu menang ke atas Uzbekistan untuk layak ke pusingan kedua. Menentang Hong Kong dan UAE pula, fokus kita adalah mengurangkan defisit jaringan serta menjadikan perlawanan itu sebagai medan menilai kelemahan sendiri,” jelasnya.

Menurut Nik Safuan, saingan kali ini juga penting untuk menilai keserasian pemain senior dengan muka baharu.

“Saya mengharapkan pemain berpengalaman dapat membimbing pemain muda supaya cepat menyesuaikan diri di pentas antarabangsa. Bagi siri pertama ini, sasaran minimum adalah menamatkan saingan dalam kelompok tujuh atau lapan terbaik bagi mengelak penyingkiran,” katanya.

Kejohanan Ragbi 7 sebelah Asia 2025 Siri 1 akan membuka tirai di Hangzhou, China pada 20 September ini.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN