fb fb fb fb fb

Jelajah promosi Piala Sultan Selangor 2025 labuh tirai, aksi kemuncak 27 September ini

Foto RTM

PETALING JAYA, 17 September - Siri jelajah promosi Piala Sultan Selangor 2025 (TSSC) melabuhkan tirai hari ini, menjadikan Petaling Jaya lokasi terakhir jelajah sebelum aksi kemuncak pada 27 September ini di Stadium Shah Alam.

Perlawanan akhir bakal menyaksikan pertemuan Veteran Selangor menentang Veteran Singapura, selain perlawanan utama Pilihan Selangor berdepan Pilihan Singapura.

Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) turut mengumumkan sumbangan RM50,000 bagi menjayakan penganjuran edisi kali ini.

Sumbangan itu mencerminkan komitmen pihak berkuasa tempatan itu dalam mendukung pembangunan sukan serta memperkukuh semangat kesukanan di peringkat komuniti.

Majlis simbolik penyerahan replika cek diserahkan kepada Pengerusi merangkap Pengurus Pasukan TSSC 2025, Tan Sri Abd Karim Munisar.

Acara berkenaan turut dimeriahkan dengan kehadiran legenda bola sepak tanah air seperti Liew Kit Kong, Mohd Nizaruddin Yusof, Shahril Arsat, Azman Adnan, Reduan Abdullah dan Datuk Dollah Salleh selain pemain Pilihan Selangor FC, R. Surendran.

Edisi kali ini dijangka menggegarkan Stadium Shah Alam dengan kehadiran lebih 20,000 penyokong sekali gus meneruskan tradisi pertembungan klasik bola sepak Malaysia–Singapura yang sinonim pada era kegemilangan 1970-an.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN