fb fb fb fb fb

Piala Dunia Renang Sirip CMAS: Pasukan negara cipta sejarah raih dua emas, satu perak, tiga gangsa

Pasukan renang sirip negara tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas meraih kejayaan pada Piala Dunia Renang Sirip CMAS 2025 di Kaohsiung, Taiwan/ Foto RTM

SEPANG, 17 September - Pasukan renang sirip negara mencipta sejarah apabila berjaya meraih dua pingat emas, satu perak dan tiga gangsa pada Piala Dunia Renang Sirip CMAS 2025 di Kaohsiung, Taiwan.

Presiden Persatuan Renang Sirip Malaysia (MFSA), S. Ravivarma berkata pencapaian kali ini merupakan yang terbaik di pentas antarabangsa.

“Kejayaan menduduki tangga ketiga keseluruhan daripada 12 negara yang bertanding adalah sesuatu yang amat bermakna, lebih-lebih lagi bersempena sambutan Hari Malaysia. Persiapan dibuat hampir setahun sebelum kejohanan ini dan usaha atlet jelas membuahkan hasil,” katanya ketika ditemui di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), di sini hari ini.

Dua emas disumbangkan Regina Cheong Xuan Yun dalam acara 200 meter immersion wanita serta Louis Chin Teng Aun menerusi 200 meter immersion lelaki.

Pingat perak pula hadir melalui acara 4x100 meter gaya permukaan wanita hasil gandingan Valery Thye, Alisha Irdina, Abigail Lim dan Jun Hsuen.

Manakala tiga gangsa diraih menerusi Regina (100m immersion wanita), Teng Aun (100m immersion lelaki) dan Rayyan Haaziq Nasrul Hafiz (50m bifin lelaki).

Regina yang beralih daripada sukan renang ke renang sirip sejak tahun 2023 menyifatkan kejayaan itu sebagai ganjaran atas kerja kerasnya.

“Saya sangat berbesar hati dapat mewakili negara. Renang sirip jauh berbeza dengan renang biasa, ia perlukan disiplin dan pengorbanan besar. Latihan saya sejak dua hingga tiga tahun lalu akhirnya membuahkan hasil,” katanya.

Sementara itu, Rayyan Haaziq yang meraih gangsa dalam acara 50 meter bifin lelaki berkata beliau bangga kerana berjaya memperbaiki catatan masa peribadi.

“Saya hanya berlatih dua bulan, jadi kejayaan ini sangat membanggakan. Saya berjaya perbaiki masa hampir dua saat, tetapi saya yakin masih boleh lakukan lebih baik pada kejohanan akan datang,” katanya.

SAHZAN FAZLI BIN ZAINUDDIN