FLORIDA, 17 September- Lionel Messi dan Jordi Alba masing-masing menjaringkan satu gol serta melakukan satu bantuan jaringan untuk membantu Inter Miami menewaskan Seattle Sounders 3-1 dalam aksi Major League Soccer (MLS) pada Selasa.
Ian Fray turut menyumbang satu gol buat Miami, manakala penjaga gol, Oscar Ustari cemerlang dengan lima aksi menyelamat.
Messi yang meledak gol ke-20 musim ini dalam saingan MLS kini hanya ketinggalan satu gol di belakang pendahulu senarai penjaring, Sam Surridge dari Nashville SC.
Bintang Argentina itu merekodkan 20 gol dalam 21 perlawanan musim ini, selepas menjaringkan jumlah sama dalam 19 aksi musim lalu.
Kemenangan tersebut menyaksikan Miami kini terikat bersama Columbus Crew dengan kutipan mata kelima tertinggi di Persidangan Timur.
Bagi Seattle, Obed Vargas menjadi satu-satunya penjaring, sementara Stefan Frei turut mencatat lima aksi menyelamat.
Sounders kini berada di kedudukan keempat Persidangan Barat.
Dalam aksi kali ini, Miami tampil lebih garang berbanding perlawanan akhir Leagues Cup pada 31 Ogos lalu, yang menyaksikan Seattle menang bergaya 3-0. -REUTERS
